Kebolehgajian Lulusan Universiti - Pengenalan
Pendidikan bukan sekadar untuk menghasilkan modal insan, malah juga untuk memacu pembangunan ekonomi sesebuah negara. Peranan modal insan manjadi sangat penting terutamanya bagi sebuah negara berpendapatan sederhana seperti Malaysia yang bercita-cita untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi suatu hari nanti. Mana-mana negara akan terperangkap dalam jerat pendapatan sederhana jika gagal meningkatkan keupayaan sumber manusianya. Kerajaan Malaysia bercita-cita menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi. Hasrat dan cita-cita ini termaktub dalam Wawasan 2020. Negara Malaysia telah berbelanja besar untuk merealisasikan hasrat ini. Pada masa yang sama Malaysia juga bercita-cita untuk menjadi hub pendidikan antarabangsa. Lantaran itu penerimaan jumlah pelajar antarabangsa telah meningkat, namun pada masa yang sama para majikan mula bersuara tentang kualiti lulusan yang dihasilkan oleh institusi pendidikan tempatan. Rungutan para majikan ini bukannya langsung tidak berasas, terutamanya apabila beberapa kriteria penguasaan pelajar dibandingkan di peringkat antarabangsa. Selain itu, sekurang-kurangnya dua aspek tampak begitu ketara, iaitu mempolitikkan pendidikan dan juga pemikiran kreatif. Akibatnya, banyak perkara yang kurang pasti telah dijadikan polisi, sesetengah polisi pula sering berubaha arah, serta kurangnya haluan strategik dalam pendidikan.
Comments
Post a Comment